RASUAH DAN INTEGRITI DALAM KALANGAN WARGA KERJA

KITA semua sedia maklum bahawa budaya rasuah sudah lama berleluasa di negara kita. Pelbagai inisiatif telah pun dilancarkan oleh pelbagai pihak termasuk pihak kerajaan, swasta dan lain-lain.
Terbaru, Datuk Hussamuddin Yaacub menerusi Sinar Harian telah melancarkan gerakan ‘Sinar Rasuah Busters’ yang merupakan sebahagian daripada kempen ‘Sinar Untuk Malaysia’.
Kempen dan gerakan ini merupakan suatu seruan jihad yang perlu disahut oleh setiap rakyat Malaysia demi membanteras amalan rasuah di negara kita yang boleh diibaratkan umpama penyakit barah tahap keempat.
Menurut Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023, integriti merupakan kunci penyelesaian kepada gejala rasuah.
Perkataan integriti juga sering dilaungkan oleh banyak institusi dan organisasi dalam usaha menentang dan mencegah rasuah.
Ringkasnya, orang yang mempunyai integriti tidak akan terjebak dengan gejala rasuah manakala orang yang sebaliknya, sama ada yang memberi atau menerima, dikatakan tidak berintegriti.